Thursday 2 June 2011

Konsert Raksaksa Sweet Charity & Blues Gang

'Konsert 2 Raksasa 2011' Gabungan Dua Ikon Rock


Sweet Charity foto MUHAMAD HASRUL

KUALA LUMPUR: Kumpulan legenda Sweet Charity dan Blues Gang akan bergabung semula bagi menggegarkan Stadium Merdeka, di sini dalam konsert 2 Raksasa 2011 pada 9 Julai depan.
Menurut vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip, konsert tersebut merupakan peluang untuk mengembalikan semula memori 27 tahun lalu, ketika konsert pertama mereka pada tahun 1984.
“Konsert ini merupakan kesinambungan daripada konsert pertama kami yang diadakan pada tahun 1984, yang banyak memberi kami kenangan manis.
“Ia juga bakal mengembalikan nostalgia dan mengubat kerinduan peminat-peminat Blues Gang dan Sweet Charity yang bukan sahaja terdiri daripada golongan tua tetapi juga muda,” katanya pada sidang media Konsert 2 Raksasa 2011,di sini, Khamis.
Blues Gang

Menurut Ramli, konsert tersebut nanti bakal menjadi kenangan yang terindah buat peminat-peminat kedua-dua kumpulan itu.
“Ia bakal menjadi sejarah dan kenangan yang terindah yang tidak akan dilupakan. Saya teringat ketika konsert Raksasa pada tahu 1984 lalu banyak dugaan yang kami tempuhi dan ia menjadikannya satu memori yang sangat istimewa,” ujarnya.
Sementara itu, vokalis Blues Gang, Ito berkata, masalah utama menjayakan konsert besar-besaran seperti ini adalah kekurangan penaja yang berani untuk melakukan penajaan.
“Kalau dulu kita boleh menerima tajaan daripada syarikat rokok tapi kini sudah tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun syarikat gergasi lain takut untuk menaja konsert-konsert daripada artis tempatan,” ujarnya.
Selain itu, mereka juga mengakui tiada sebarang masalah apabila ditanya tentang stamina untuk melakukan konsert tersebut memandangkan kesemua anggota kumpulan berkenaan sudah jauh berusia berbanding ketika mengadakan konsert pertama, 27 tahun lalu.
“Kami rasa tiada sebarang masalah tentang itu kerana kami menyanyi menggunakan teknik tertentu dan bukan menggunakan kudrat.
“Biarpun kami sudah agak lama tidak muncul di televisyen tetapi kami masih aktif sebagai penyanyi, saya yakin kami mampu melakukannya,” katanya.
Berceritakan tentang lagu yang bakal dinyanyikan pada malam konsert tersebut, Ito berkata kedua-dua kumpulan bakal mendendangkan 10 buah lagu popular masing-masing yang bakal diberi nafas baru.
Tiket konsert yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn Bhd ini dijual dengan harga RM 73.00 dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-8775 4666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music.