Saturday 28 July 2012

Alleycats, Jay Jay di Dewan Filharmonik PETRONAS


Untuk tahun ketiga berturut-turut. Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bakal mempersembahkan DFP Seni Festival, sebuah pesta keraian yang menyajikan muzik ekstravaganza dalam perayaan seni dan budaya selama seminggu. Festival ini diadakan sempena dengan Ulangtahun Musim Konsert ke-15 DFP.

Sama seperti festival terdahulu, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sekali lagi bakal meraikan pelbagai cabang seni seperti pelbagai genre muzik, tarian , puisi dan lukisan dengan kolaborasi terunggul bersama artis-artis tempatan, pelukis-pelukis tersohor dan badan-badan kesenian.

Dua acara  yang dijangka mendapat perhatian ramai ialah Konsert MPO Goes Retro dan Konsert Keroncong Merdeka yang bakal membariskan artis-artis popular suatu ketika dahulu. Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Ros, Konsert Keroncong Merdeka akan menampilkan Dato’ Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro serta penyanyi remaja, Jamilah Abu Bakar untuk menyampaikan lagu-lagu malar segar seperti Sayang Di Sayang, Selamat Tinggal Bungaku, Kenang Daku Dalam Doamu, Uda & Dara dan Putera Puteri. Konsert ini dijadualkan pada 30 Ogos 2012, jam 8.30 malam.

Sementara MPO Goes Retro akan membawa penonton ke zaman kegemilangan pop 70-an dan 80-an dengan menampilkan dua nama besar dalam industri iaitu Alleycats dan Jay Jay di bawah pimpinan konduktor Dato’ Ramli MS.

Dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini, Ramli MS memberitahu yang beliau sangat teruja dengan konsert memandangkan beliau sudah 11 tahun tidak berkerjasama dengan MPO. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan berhadapan dengan cabaran besar bagi memastikan konsert itu berjaya.
“Cabaran terbesar untuk konsert ini ialah untuk memastikan saya tidak membunuh lagu-lagu yang bakal dipersembahkan. Ini kerana lagu-lagu itu sudah ‘besar’. Kalau saya buat terlalu mendalam, mungkin akan hilang merdunya. Selain itu saya juga perlu memastikan nilai-nilai komersial turut ada bagi menarik minat penonton. Jadi saya harus berhati-hati.” ujar Ramli MS.

Bagi vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam, dia percaya Ramli MS boleh memberikan yang terbaik untuk konsert yang bakal berlangsung pada 1 September, jam 8.30 malam itu. Dalam masa yang sama, vokalis ini juga berjanji akan buat sehabis baik demi menghargai sokongan peminat yang sanggup membeli tiket.

“Pada konsert itu saya akan menyanyikan lagu-lagu popular Alleycats seperti Hingga Akhir Nanti, Sampaikan Salam, Kerana Kau, Senandung Malam, Sekuntum Mawar Merah dan Seribu Bintang. Saya harap konsert ini akan mendapat sambutan baik kerana ia sesuatu yang cukup berbeza, dipersembahkan secara unplugged,” ujar David.

Festival bakal dimulakan dengan persembahan Professional Cultural Center Orchestra di bawah pimpinan Chen Kham Chien pada 30 Ogos 2012, jam 8.30 malam. Bertemakan An Oriental Journey, ensemble ini bakal mempersembahkan lagu-lagu etnik Cina klasik dan kontemporari yang digubah dalam bentuk orkestra.

Sebagai penutup festival, dua konsert istimewa bertemakan MPO And Friends akan diadakan pada 2 September 2012, jam 1.00 tengahari dan 3.00 petang. Diadakan serentak dengan Hari Terbuka MPO, konsert ini bakal menyajikan muzik klasikal popular.  Di samping itu pelbagai aktiviti menarik juga bakal berlangsung di sekitar perkarangan lobi DFP untuk menyemarakkan lagi sambutan hari istimewa ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai jualan tiket anda boleh menghubungi talian 03 – 2051 7007 atau layari www.dfp.com.my dan www.mpo.com.my.