Saturday 21 December 2013

Konsert Salamiah Hassan Selepas 42 Tahun Jadi Penyanyi


Salamiah Hassan
PETALING JAYA: Selepas 42 tahun melibatkan diri dalam industri muzik tanah air, penyanyi Salamiah Hassan buat pertama kalinya akan muncul dengan Konsert Gelombang Salamiah Hassan.
Konsert tersebut akan berlangsung bermula 10 Januari sehingga 12 Januari 2014 di Panggung Sari, Istana Budaya, dekat sini.
Salamiah berkata, walaupun sudah biasa menyanyi di depan khalayak, namun dia sedikit sebanyak berasa gentar untuk mengadakan konsert tersebut.
"Sudah lama saya pendamkan hasrat untuk mengadakan konsert sendiri dan akhirnya ia tercapai.
"Terima kasih buat sahabat saya Raja Azmi kerana memujuk saya untuk bersetuju dengan konsert ini. Saya tahu peminat-peminat mengharapkan sesuatu daripada saya dan akhirnya, saya muncul juga dengan sebuah konsert.
"Walaupun sudah lama di bidang ini, jauh di sudut hati saya berasa gentar," katanya kepada mStar Online.
Tambah Salamiah, elemen klasik akan menjadi tema pada konsert tersebut di mana anaknya, penyanyi Atilia turut akan ditampilkan sebagai artis undangan.
Konsert tersebut juga menampilkan Raja Azmi sebagai penerbit, Pat Ibrahim selaku pengarah, Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik manakala Raja Malek dalam penataan seni.
Tiket bagi menyaksikan konsert boleh ditempah menerusi laman www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03- 4147-8600 atau 019-211-1600.- mStar

Wednesday 11 December 2013

Konsert Amal Datuk Ramli Sarip : "Blues Buat Teman" di 9 negeri

Ramli Sarip
KUALA LUMPUR: Atas rasa prihatin terhadap rakan seperjuangan yang mengalami kesulitan hidup, Datuk Ramli Sarip bakal mengadakan konsertnya, Blues Buat Teman Tour 2014 pada 19 Januari 2014 bagi membantu teman-temannya itu.
Mereka adalah Yazit (Search), Hamid (Black Dog Bone) dan balu kepada Allahyarham Samad Mian (Lefthanded).
Ramli, 61, berkata, hatinya mula terdetik untuk mengadakan konsert selepas terlihat foto Samad dan terus merancang ingin mengumpul dana bagi membantu mengurangkan beban rakan-rakan seperjuangannya itu.
"Konsert ini merupakan satu penghargaan buat para pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya.
"Ia sebagai satu dedikasi kepada Allahyarham Samad serta Yazit dan Hamid yang menghadapi masalah kesihatan.
"Saya mula terfikir mengadakan konsert ini selepas melihat gambar-gambar lama saya bersama mereka dan selepas setahun merancang, Alhamdulillah ia akan dilaksanakan pada tahun depan di 10 buah lokasi seluruh negara," katanya.
Ramli ditemui pada majlis sidang media konsert Blues Buat Teman Tour 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.
Turut hadir barisan pemuzik yang terlibat dengan konsert berkenaan iaitu Man Kidal sebagai gitaris, Tom Anuar (dram) Fauzie Zain (Bass), Roza Rasul (Keyboard) dan Paang Zaman (perkusi).
Tambah Ramli, dia merancang untuk menyumbangkan kesemua wang tiket kepada tiga rakannya itu dan bersyukur apabila pemuzik-pemuzik serta kru konsert tersebut setuju dengan cadangan itu.
"Alhamdulillah, apabila niat kita baik, semuanya dipermudahkan.
"Kalau nak tahu konsert ini tiada penaja dan kami adakan konsert ini bagi mengumpul dana tanpa memikirkan wang gaji sendiri. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh produksi dan pemuzik sanggup berkorban untuk mengumpulkan dana," ujarnya.
Dalam pada itu, sebuah lagu Blues Buat Teman juga akan dihasilkan dan akan dipersembahkan pada konsert jelajah tersebut.
Konsert jelajah itu akan bermula di Hard Rock Cafe di sini pada 19 Januari 2014, diikuti dengan sembilan negeri lain iaitu Sarawak (14 Februari), Sabah (16 Februari), Pulau Pinang (23 Februari), Perak (1 Mac), Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (14 Mac), Johor (28 Mac) dan Singapura (29 Mac).
Untuk keterangan lanjut, hubungi 013-2633938 - mStar