Friday, 21 November 2014

Kembara Masih Berbisa Dalam 'Konsert Hati Emas Kembara'


Diterbitkan: Jumaat, 21 November 2014 1:20 PM

JIKA bercakap tentang lagu-lagu berunsurkan kerakyatan dengan melodi dan lirik puitis sudah tentu kita akan terus terbayangkan kumpulan Kembara yang cukup terkenal pada era 80-an.
Bait-bait kata yang indah dan mengena pada hati pendengar seperti Gerhana, Hati Emas, Ekspres Rakyat, Kolar Biru dan Duit meninggalkan kesan mendalam dan kekal segar sehingga hari ini.
Malah selepas 30 tahun nama Kembara kekal utuh sebagai sebuah kumpulan terbaik yang melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik - fakta yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa.
Berita mereka bakal mengadakan sebuah konsert yang diberi nama Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya sebelum ini seperti impian menjadi kenyataan kerana Kembara sudah lama tidak muncul dalam mana-mana persembahan pentas.
Kemantapan vokal M.Nasir pada Konsert Hati Emas Kembara cukup bertenaga.
Konsert pembukaan pada malam Khamis lalu menjadi bukti mereka masih mempunyai bilangan peminat cukup ramai apabila kerusi di Panggung Sari penuh dengan penonton yang teruja menantikan persembahan sulung kumpulan itu.
Tepat pukul 9 malam dewan bertukar gamat dengan sorakan apabila anggota kumpulan Kembara iaitu Datuk M.Nasir, A.Ali, S.Sahlan, Zoul dan Md Shah muncul di atas pentas dengan seleksi lagu seperti Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan, Siapa orang Kita danSesat Kuala Lumpur.
Energi luar biasa M. Nasir selaku vokalis utama pada awal segmen cukup mengagumkan serta pengawalan vokal yang cukup baik membuatkan penonton bersorak setiap kali selesai persembahan.
Konsert pada malam itu turut diiringi oleh 12 pemuzik dan empat penyanyi latar dan secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu pada malam itu.
S.Sahlan turut menyampaikan beberapa buah lagu pada malam itu.
Tidak membiarkan penonton menunggu lama, persembahan pada malam itu diteruskan lagu Perjuangan, Senandung Buruh dan Kasar sebelum S.Sahlan tampil mendendangkan lagu Impian Seorang Nelayan.
A.Ali turut menyampaikan dua buah lagu Di Perehentian Puduraya dan Ada Sepasang Mata manakala Zoul dengan Bas No 13.
Sebagaimana M.Nasir, vokal ahli kumpulan lain sama mantap disamping keghairahan mereka yang sudah lama tidak beraksi dalam sebuah konsert.
M.Nasir turut berkongsi perjalanan mereka terutama di awal kemunculan sebagai penyanyi di Malaysia selain cuba berjenaka dengan penonton tentang beberapa kisah menarik tentang Kembara.
Kemantapan A.Ali bermain gitar sambil menyanyi menyerlah.
Kembara meneruskan persembahan dengan mendendangkan lagu wajib mereka sepertiMalam, Oh Bulan, Kiambang sebelum dewan bertukar gamat apabila lagu Keroncong untuk Ana dan Kepadamu Kekasih diperdengarkan.
Barangkali ia saat paling indah dalam konsert berkenaan kerana kedua-dua lagu berkenaan disampaikan M.Nasir dengan penuh penghayatan sehingga berjaya menyentuh perasaan penonton.
Tidak membiarkan penonton terbuai terlalu lama dengan lagu balada, M.Nasir kembali bertenaga dengan menyampaikan lagu rancak seperti Kutu, Duit, Hati Emas sebelum mengakhiri persembahan dengan Gerhana.
Kepuasan menonton Kembara di atas pentas dengan barisan ahli asal kumpulan itu ternyata suatu pengalaman menakjubkan dan penantian peminat untuk melihat semula mereka beraksi berbaloi.
Berbaki tiga hari lagi persembahan sehingga Ahad ini, peminat tidak seharusnya melepaskan peluang menonton Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya.

Thursday, 16 October 2014

Dibogel 'Ultraman'

Kuala Lumpur: Tidak hanya diacu pistol malah seorang lelaki turut dibogelkan oleh sekumpulan empat perompak yang muncul dengan memakai topeng watak animasi Ultraman.
Suspek membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita sebelum itu bertindak menceroboh kediaman mangsa di Brickfields, di sini, sekitar jam 4 pagi kelmarin.
Sumber polis berkata, mangsa berusia 30-an yang ketika itu berada di ruang tamu terkejut apabila diserang suspek bertopeng yang menyerbu masuk melalui pintu hadapan kediaman.
Menurutnya, suspek mengacukan pistol dan mengarahkan mangsa berdiam diri.
"Mangsa yang sebelum itu sedang melayari Internet dipaksa memindahkan wang tunai ke dalam akaun diberikan suspek.
"Bagaimanapun mangsa enggan akur dengan arahan itu menyebabkan suspek yang berang mengarahkan mangsa membuka baju dan seluar," katanya.
Menurutnya, suspek kemudian merakam gambar dan video bogel mangsa.
"Penjenayah mengugut menyebar video itu ke laman sesawang jika mangsa terus berdegil enggan menyerahkan wang diminta.
"Suspek memberi tempoh sehingga jam 7 pagi kepada mangsa supaya memindahkan wang diminta ke dalam akaun bank suspek," katanya.
Difahamkan suspek terus beredar dari kediaman itu tanpa mencederakan mangsa.
"Bimbang dengan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.

Wednesday, 15 October 2014

Waris Dedah Pernah Dihina, Menyanyi di Majlis Kahwin


Kredit foto CipotredzKredit foto Cipotredz
Penyanyi rap yang popular dengan lagu dalam loghat Negeri Sembilan berjudul 'Rembau Most Wanted, Waris, tidak menyangka dia yang dulu sekadar sering menyanyi di majlis-majlis perkahwinan, kini berjaya menghasilkan album sendiri.
Bertemu dengan pemilik sebenar, Muzammil Alias ini sewaktu di majlis perlancaran albumnya 'W.A.R.I.S Rembau Most Wanted', jejaka berusia 25 tahun ini berkata Tidak bercita-cita menjadi penyanyi tetapi dia lebih memilih mahu bergelar rapper.
Sementelah minat dan bakatnya diasah menerusi kerap diundang menyany di majlis-majlis perkahwinan di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan.
Kemudian bermula dengan langkahnya mencuri tumpuan menerusi laman YouTube, sejak itu menerusi single demi single seperti 'Rembau Most Wanted, Botingkek, Gadis Jolobu (feat. Datuk Hattan) dan Cintaku 100% (feat. Mas Idayu dan Juzzthin dan terbaru 'Sampai Bila' (feat Mark Adam), Waris kini semakin dikenali ramai.
"Daripada dulu lagi saya memang suka rap. Cita-cita saya bukan nak jadi penyanyi tapi nak jadi rapper. Dulu sebelum jadi artis rakaman, saya kerap menyanyi di majlis-majlis kahwin di kampung saya. Sehinggalah saya diberi peluang tawaran sebagai artis rakaman", katanya yang kini bernaung di bawah Mixology Music, iaitu syarikat rakaman milik DJ Fuzz", katanya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui di Laundry Bar, The Curve, semalam.
Kesayangan Orang Rembau
Tambah penuntut jurusan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi (Uniten) ini lagi, di awal pembabitannya dalam dunia nyanyian, dia berdepan dengan kritikan dan penghinaan dari pelbagai pihak. Namun persepsi itu lama-kelamaan hilang dengan sendirinya. Kata Waris, dia bersyukur kerana kini menjadi kebanggaan di kalangan orang-orang di kampungnya.
"Saya kan berasal dari kampung. Saya orang kampung... Jadi masa mula-mula saya muncul dalam industri dulu saya selalu dihina oleh orang sekeliling. Ada yang tak boleh terima lagu-lagu saya sampaikan ada yang datang depan saya dan kutuk-kutuk saya. Tapi saya tak kisah dan tak patah semangat.
"Syukur, sekarang ni ramai yang semakin boleh menerima kehadiran saya dalam industri. Orang-orang kampung saya pun ramai yang dah kenal saya. Saya kiranya kebanggaan mereka lah. Setiap kali kalau balik kampung mereka suka bertanyakan pada saya bila saya nak keluarkan album. Akhirnya saya dapat juga hasilkan album pertama saya"ujarnya.
Menyentuh mengenai debutnya itu, Waris berkata album tersebut mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Memuatkan 19 lagu yang mana kesemua lagu dalam album ini termasuk single-single hitsnya adalah hasil ciptaannya sendiri. Album edaran Rusa Music ini sudah berada di pasaran sejak Oktober 2014.
Sementara itu, mengenai isu panas yang mengaitkan diri sebelum ini yang mendakwa dia sudah semakin besar kepala dan sombon, Waris berkata,
"Saya tak kisah apa orang nak kata tentang saya. Kalau nak kata saya sombong, saya ni sebenarnya seorang yang mudah mesra dengan orang. Kadang-kadang, kalau saya ni bila dah terlebih mesra sampai orang boleh cakap saya ni macam kerang busuk pula", katanya sambil tertawa.
-mD