Monday 6 February 2012

Tasha Shilla Jawab Tuduhan Jalin Hubungan Dengan VIP & Isu Arak

PETALING JAYA: Belum pun reda isu pelakon Tasha Shilla dituduh berkelakuan liar dan menari ghairah di kelab malam sebelum ini, aktres muda ini sekali lagi dipalit kontroversi yang mendakwa kononnya dia kini menjalin hubungan dengan seseorang berstatus VIP pula.

Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 25, berkata jika benar dia menjalin hubungan dengan individu berstatus VIP, justeru dia tidak perlu menceburi bidang lakonan dan bekerja keras untuk menaikkan taraf kehidupannya.

“Saya nafikan dakwaan itu. Kalaulah benar saya menjalin hubungan atau dibela golongan VIP, buat apa saya bekerja-keras siang dan malam untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan ini.

“Lagi pun, saya tinggal dan berada di bawah jagaan keluarga. Ibu bapa saya sentiasa mengetahui dan memantau gerak-geri saya, jadi tidak logik kalau ada yang kata saya dibela oleh VIP,” katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.

Menjawab dakwaan yang mengatakan kereta BMW miliknya turut dibelikan oleh individu berkenaan, Tasha menegaskan kenderaan tersebut dibeli dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Ini satu lagi dakwaan melampau. Kalau hendak tahu, kereta tersebut sudah lama saya beli sebelum bergelar artis lagi. Ia adalah hasil titik peluh saya ketika bekerja sebelum ini. Ia dibeli atas nama makcik saya sendiri.

“Mengapa harus timbul kesangsian? Saya membuat keputusan untuk membeli kereta itu kerana saya mampu. Kereta itu pun bukan kereta baru. Tidak adil untuk menuduh saya begitu hanya kerana saya memiliki kereta tersebut,” ulasnya.

Menjawab dakwaan kononnya dia turut keluar dengan seorang VIP dan terdapat hidangan minum keras di atas meja pada malam Khamis lalu, Tasha Shilla memberitahu dia tidak berdua sebaliknya ditemani rakan-rakan lain.

Malah, minuman keras yang dihidangkan di restoran itu adalah dipesan oleh temannya yang bukan beragama Islam.

“Hakikatnya saya datang secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain termasuk beberapa orang produksi dari Hollywood untuk berbincang tentang tawaran kerja.

“Memang benar ada minuman beralkohol di atas meja kami tetapi bukan saya yang minum. Ada beberapa rakan saya yang bukan beragama Islam di situ," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai reaksinya apabila terus dikaitkan dengan kontroversi, Tasha berkata dia segera menghubungi ibunya bagi mendapatkan pandangan menghadapi tuduhan terbaru ini.

“Saya tidak mahu mudah melatah kerana saya sudah bersedia untuk menghadapi gosip dan kontroversi apabila menceburi bidang ini.

“Orang luar boleh bercakap apa sahaja tanpa mereka mengenali saya secara peribadi. Apa yang lebih penting adalah kepercayaan dan sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat,” katanya.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan aktres ini menepis dakwaan kononnya dia berkelakuan liar dan menari ghairah ketika meraikan majlis hari lahirnya yang ke-25 di sebuah kelab malam di ibu negara pada 25 Januari lalu - mStar

Thursday 2 February 2012

The Rock mampu pertahan popularitinya

Pemilik nama Dwayne The Rock Johnson ini mempunyai nama yang cukup gah dalam arena gusti sebelum pembabitannya dalam bidang seni.

Menggunakan nama besar yang ada padanya, figura ini bijak mencari peluang dengan beralih ke bidang lakonan saat namanya berada di kemuncak gelanggang gusti.

Tidak hanya bergantung kepada nama komersialnya ketika dalam dunia gusti sahaja, The Rock kini boleh berpuas hati apabila nama barunya dalam bidang lakonan, Dwayne The Rock Johnson berjaya mendapat perhatian peminat dan berada di dalam kelasnya tersendiri.

Dwayne The Rock Johnson atau nama sebenarnya Dwayne Douglas Johnson mula menginjakkan diri dalam bidang lakonan pada1999 menerusi lakonannya dalam dokumentari, Beyond The Mat yang memegang watak sebagai diri sendiri.

Dwayne mula memegang peranan utama dalam filem The Scorpion King pada 2002. Biarpun itu merupakan filem pertamanya memegang watak utama, Dwayne mencatatkan sejarah apabila menerima bayaran tertinggi untuk pelakon yang pertama kali beraksi sebagai teraju utama pada masa itu, iaitu sebanyak $5.5 juta.

Bagaimanapun, lakonannya sebagai Mathayus atau The Scorpion King di dalam filem itu mendapat kritikan.

Pun begitu, Dwayne gigih meneruskan langkahnya sebagai pelakon dengan menganggap kritikan tersebut sebagai satu semangat untuknya memperbaiki mutu lakonan.

Ternyata usaha Dwayne membuahkan hasil apabila filem lakonannya selepas itu menerima sambutan baik penonton.

Mengimbau perjalanan karier pelakon ini sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan, Dwayne dahulunya cukup aktif dalam aktiviti kokurikulum di kolej.

Selebriti berbadan sasa ini melibatkan diri dalam sukan ragbi dan bermain untuk kejohanan ragbi di kolejnya, University of Miami pada 1991.

Kemudian, Dwayne menerima tawaran bermain bagi pasukan Calgary Stampeders dalam Kejohanan Liga Ragbi Kanada.

Puas bermain di padang, figura berusia 40 tahun ini membuat keputusan besar dalam hidupnya untuk berkecimpung dalam arena gusti seperti datuknya, Peter Maivia dan bapanya, Rocky Johnson.

Anak kelahiran California ini mula mendapat tempat dalam dunia gusti di World Wrestling Entertainment (WWE), yang dahulunya dikenali sebagai World Wrestling Federation (WWF) mulai 1996 sehingga 2004.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia tersebut, generasi ketiga untuk keluarga Peter Maivia ini berjaya memenangi 16 kejuaraan dalam WWF dan WWE.

Dwayne juga pernah menggunakan nama komersial, Flex Kavana, Rocky Maivia (kombinasi nama datuk dan bapanya) dan The Rock sepanjang penglibatannya dalam WWE dan WWF.

Biarpun sibuk dengan dunia seni, Dwayne sehingga kini tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada gelanggang gustinya itu.
Percaturan menjadi

Sering diberikan watak serius dan aksi dalam setiap lakonan, Dwayne beralih arah ke bidang komedi pada 2007 menerusi filem The Game Plan.

Percaturannya itu ternyata memberikan impak besar kepada peminatnya yang memuji lakonan berkesan Dwayne dalam filem itu.

Lakonan sebagai bapa dalam filem itu kelihatan menjadi biarpun itu pertama kali dia diberi tawaran berlakon dalam filem komedi.

Filem itu juga merupakan yang terakhir untuknya menggunakan nama komersial The Rock sebelum bertukar kepada Dwayne The Rock Johnson.

Bermula daripada situ, lakonan Dwayne dilihat semakin menyerlah biarpun menerima watak-watak aksi selepas filem tersebut.

Terbaru, filem pertamanya untuk tahun ini, Journey 2: The Mysterious Island yang menampilkan genre aksi turut menerima maklum balas positif daripada peminatnya.

Boleh dikatakan, setiap filem lakonannya pasti mendapat sambutan memberangsangkan seperti filem The Rundown, Be Cool, Walking Tall, Gridiron Gang, Get Smart, Race To Witch Mountain, Planet 51, Fast Five.

Projek terbaru Dwayne yang kini sedang menunggu untuk ditayangkan adalah filem GI Joe: Retaliation.
Filem itu menampilkan Dwayne sebagai teraju utama dengan memegang watak Roadblock, salah seorang ahli dalam pasukan GI Joe.

Dwayne turut berlakon di samping Bruce Willis yang memegang watak sebagai General Joseph Colton, Channing Tatum sebagai Duke dan Adrianne Palicki sebagai Lady Jaye.


Imej bersih

Tidak terkecuali daripada dirisik mengenai sisi peribadinya, Dwayne pernah melangsungkan perkahwinan dengan Dany Garcia.

Pelakon ini mengenali bekas isterinya sewaktu belajar di University of Miami dan berkahwin pada 3 Mei 1997.

Perkahwinan atas dasar cinta itu tidak berpanjangan apabila mereka berpisah pada 1 Jun 2007.

Hasil perkahwinan 10 tahun itu, mereka mendapat seorang anak perempuan, Simone Alexandra yang kini berusia 11 tahu