Sunday 22 May 2011

Pemimpin Islam persoal kesetiaan bukan Muslim, mahu hak dikaji semula

TERKINI @ 10:55:50 PM 22-05-2011
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
May 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Beberapa pemimpin Islam mempersoalkan kesetiaan bukan Islam di negara ini sambil menggesa hak komuniti itu perlu dinilai semula jika Malaysia benar-benar dianggap sebagai negara Islam.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakhaie Ahmad (gambar) berkata, layanan kepada bukan Muslim seharusnya berdasarkan pada kontrak sosial yang telah dipersetujui.

Malah kata beliau kerajaan nampak terlalu bermurah hati kepada kaum-kaum bukan Islam.

“Dalam usaha untuk mendapatkan undi dan sokongan bukan Muslim, kita begitu bermurah hati dalam memberikan hak-hak sivil.

“Hak-hak sivil yang diberikan termasuk hak untuk mengundi, penyertaan dalam politik, memegang jawatan, pembabitan dalam ketenteraan dan sebagainya, tetapi kita memberikan mereka segala-galanya,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, tawaran hak kepada bukan Islam seharusnya berdasarkan amalan-amalan agama Islam.

Nakhaie menekankan bahawa bukan Muslim yang melanggar kontrak sosial mesti dibuang negara.

Justeru beliau meminta kerajaan mengambil pendekatan tegas untuk menjaga kepentingan Muslim negara ini.

"Jika mereka melanggar perjanjian kita, maka mereka adalah musuh kita dan mesti dibuang dari negara ini," katanya.

"Kita tidak harus kompromi dengan mereka. Kita mesti tegas dengan mereka apabila menyentuh kontrak sosial yang dipersetujui," katanya lagi.

Malah kata beliau, adalah penting jawatan tinggi kerajaan tidak diberikan kepada bukan Muslim demi kepentingan negara.

“Kita tidak boleh beri jawatan penting kerajaan kepada bukan Muslim memandangkan bukan Islam tidak boleh menjadi menteri di negara Islam. Ketua tentera juga tidak boleh diberikan kepada bukan Muslim.

"Tanpa memikirkan mengenai masa depan negara kita, kita memberikan mereka semua," katanya sambil menambah tindakan memberikan hak sivil mesti diseimbangkan dengan amalan Islam agar faham keadilan dalam Islam dan sistem Islam.

Dalam pada itu, timbalan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Zamri Hashim pula berkata Muslim sewajarnya melihat menjangkaui afiliasi politik demi matlamat perjuangan yang lebih besar.

“Kita mesti melihat di luar (ruang) politik. Agenda Melayu sangat penting untuk (kita) tidak boleh tidak ambil peduli dan majoriti Melayu adalah Muslim. Bukan lagi tentang PAS dan Umno,” kata timbalan mufti Perak ini.

Timbalan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali juga menekankan bahawa Malaysia tidak harus menjadi negara sekular.

“Ini kerana ramai ahli politik bukan Muslim mahu mengisytiharkan negara ini sebagai negara sekular, maka kerajaan tidak perlu membiayai program agama.

“Mereka bimbang bahawa jika kita terima Malaysia sebagai negara Islam maka ada banyak implikasi, bermakna hanya Muslim yang ada hak untuk menerajui negara ini,” katanya.

Mohd Rumaizuddin menambah orang Melayu diinjak-injak manakala bukan Muslim pula mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Disebabkan politik, kita masih belum bebas selepas lebih 50 tahun negara merdeka,” katanya.

Presiden Hizbut Tahrir Malaysia Abdul Hakim Othman menambah perlembagaan negara mesti digantikan kerana ia digunal oleh penjajah British. - The Malaysian Insider

Friday 20 May 2011

Milik siapakah gadis ini?


Kalau anda nak tahu siapa dia, sila ke sini

Cadang guna balik syiling satu sen

KANGAR - Kerajaan sedang menimbangkan cadangan penggunaan semula syiling satu sen dalam usaha mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu akan diusulkan dalam mesyuarat Kabinet bulan hadapan.

“Saya akan cadangkan agar syiling satu sen digunakan semula. Jika harga barang naik satu sen, sebagai contoh, kenaikan harga barang menyebabkan harga teh tarik naik RM1.71 sen, jadi patut tambah satu sen sahaja, jangan tambah empat sen (digenapkan kepada lima sen terdekat menjadi RM1.75).

“Jadi tak salah kalau kita guna semula kerana satu ketika dulu kita pun guna satu sen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020, semalam.

Menurutnya, perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan diadakan mengenai perkara itu.

“Kita akan bincang perkara ini dengan BNM, biar caj yang dikenakan mengikut kadar yang betul. Jadi ia tidak akan membebankan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta sektor swasta tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna walaupun kos pengeluaran meningkat disebabkan kenaikan harga barang

Wednesday 18 May 2011

Pemimpin PAS juga sokong Perkasa - Ibrahim Ali

Bagaimanapun, pemimpin PAS Kelantan, Datuk Husam Musa tidak menyokong sebaliknya risau dengan tindakan Perkasa memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu.

PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mendakwa ada pemimpim PAS menyokong pertubuhan itu memperjuangkan agama Islam dan hak orang Melayu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas itu tidak mahu menamakan pemimpin PAS berkenaan.

“Ada pemimpin PAS yang saya jumpa menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan Perkasa menegakkan agama Islam dan hak orang Melayu,” katanya dalam satu majlis anjuran pertubuhan itu di ibu negara petang semalam.

Kira-kira 300 ahli dan penyokong Perkasa menghadiri program tersebut yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menurut Ibrahim pemimpin PAS Kelantan, Datuk Husam Musa tidak menyokong Perkasa memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu.

Ibrahim mendakwa, bekas naib presiden PAS itu risau kerana peranan parti itu telah diambil alih oleh Perkasa.

Malah beliau juga mengulas mengenai kenyataan Husam supaya beliau (Husam) tidak menyibuk dalam isu jihad.

“Saya mahu Husam selesaikan dulu isu ladang rakyat, bazar Tok Guru yang menjadi perbualan rakyat Kelantan,” tambahnya.

lsnin lalu dalam satu kenyataan media, Husam menasihatkan presiden Perkasa itu supaya tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah

lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli untuk mengekalkan kuasa Umno-Barisan Nasional.

Katanya, isu yang berbangkit mengenai kumpulan Kristian ingin menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah samar-samar dan berunsur fitnah.

Ibrahim sebelum itu memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam di negara ini - FMT

Tuesday 17 May 2011

Bekas polis maut jatuh hotel elak dicekup pencegah maksiat

Seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di ibu negara ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) yang melakukan operasi cegah maksiat di hotel berkenaan awal pagi ini.

Ketika cuba melarikan diri melalui tingkap biliknya yang terletak di tingkat 16 hotel itu di mana dia menginap dengan pasangannya, mangsa yang berumur 49 tahun itu terjatuh di beranda tingkat lima bangunan dalam insiden kira-kira jam 2 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman yang dihubungi Bernama hari ini mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Zulkarnain berkata pihak Jawi telah mengambil keterangan daripada pasangan mangsa yang dipercayai janda berumur lingkungan 40-an untuk membantu siasatan dan beliau enggan mendedahkan identiti pasangan terbabit.

- Bernama

Selepas Orkid Abdullah, suaminya meninggal dunia pagi ini

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Lima hari selepas penyanyi yang popular dengan lagu Penawar Rindu, Datin Orchid Abdullah meninggal dunia, suaminya Datuk Mokhtar Omar kembali ke rahmatullah pagi ini.

Allahyarham Mokhtar, 70, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 6.15 pagi ini di Hospital Ampang dekat sini, lapor Utusan Online hari ini.

Mokhtar dimasukkan ke hospital tersebut sejak lebih 4 Mei lalu kerana jangkitan kuman di paru-paru.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, dekat sini sebelum waktu Zohor.

Orchid juga meninggal dunia di Hospital Ampang pada 13 Mei lalu. - TMI

Wednesday 11 May 2011

Felda : Nostalgia 80an - Bhg Pertama

(Bahagian Pertama) Perjuangan Awal Peneroka Felda

Oleh: Suhaimi Said

Di awal tahun 80-an, saya dilantik sebagai Anggota Lajnah Undang-undang PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Wan Mutalib Embong. Saya dibenarkan untuk memilih tugasan dan bertanggungjawab untuk memperjuangkan hak dan kepentingan peneroka Felda.

Ketika itu, semua tanah rancangan Felda berpagar termasuklah di pintu masuk. Tidak mudah untuk melepasi pagar ini jika seseorang itu disyaki atau sebagai orang yang tidak dialu-alukan.

Saya dicop sebagai seseorang ‘persona non-grata’, iaitu seseorang yang tidak dialu-alukan di dalam rancangan Felda.

Atas kerjasama yang diberikan oleh penyokong-penyokong pembangkang, saya berjaya memasuki semua tanah rancangan Felda. Namun, di sesetengah kawasan, saya dihalang oleh pengurus Rancangan.

Saya akan ceritakan peristiwa demi peristiwa di semua Rancangan Felda yang saya lawati waktu itu. Saya mulakan dengan peristiwa di Felda Jengka 22.

Dengan bantuan penyokong PAS (waktu itu belum ada cawangan PAS di sana), saya memasuki Felda Jengka 22 kerana diundang oleh peneroka-peneroka bagi menerangkan kedudukan mereka di bawah Surat Perjanjian di antara peneroka dengan Felda.

Ada lebih kurang 40 orang peneroka hadir di sebuah rumah di rancangan itu. Saya hadir dengan membawa sebuah set radio dan mikrofon.

Melalui set radio dan mickrofon itu kami perbetulkan gelombangnya dan radio itu berfungsi sebagai pembesar suara. Ramai lagi yang membawa radio masing-masing dan dengan penyelarasan gelombang, maka aliran suara yang kuat boleh memecahkan kesepian malam.

Sebaik sahaja mahu memulakan taklimat mengenai Surat Perjanjian di antara Peneroka dengan Felda, tiba-tiba hadir seorang yang agak segak bersama rakan-rakannya cuba memberhentikan ceramah saya itu.

Apabila saya enggan, dia menyatakan bahawa dia adalah Pengurus Felda dan berhak memberhentikan ceramah itu.
Saya ‘lecture’ sedikit tentang undang-undang kepada Pengurus Felda itu. Baik dibawah perlembagaan Persekutuan mahu pun di bawah Akta Polis. Saya cabar pengurus itu dimanakah kuasa yang ada padanya mengikut undang-undang.

Sudah tentu dia tidak ada jawapan. Dia cuba rampas mikrofon ditangan saya. Saya tepis tangannya dan rampas kembali mikrofon itu.

Saya minta pengurus itu bersabar mendengar penerangan dari saya dan tidak mengambil tindakan liar.
Entah bagaimana tiba-tiba pengurus yang nampak ganas tadi menjadi senyap dan duduk di tepi tangga mendengar ceramah saya hingga ke akhir.

Selepas habis ceramah, saya jemput pengurus naik ke atas rumah dan kami minum bersama. Pada waktu itu dia menyatakan bahawa dia hanya menjalankan tugas atas arahan.

Selepas minum bersama, saya meninggalkan majlis dan pengurus itu bukan sahaja bersalaman dengan saya tetapi dia juga bersalam dengan semua yang hadir dengan berkata: “Minta maaflah,”

Isi kandungan ceramah saya mengenai peruntukan surat perjanjian di antara peneroka dan Felda akan saya paparkan di halaman yang lain setelah kisah-kisah menarik tentang peristiwa-peristiwa yang saya lalui di rancangan-rancangan Felda pada awal tahun-tahun 80-an dipaparkan di blog ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13172

Tuesday 10 May 2011

Keldai Dadah: Polis Selamatkan Dua Pelajar Wanita

SHAH ALAM: Polis menyelamatkan dua pelajar wanita sebuah kolej daripada dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket antarabangsa yang didalangi dua lelaki warganegara Nigeria dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Puchong dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis menemui dua wanita berusia 21 tahun berkenaan yang dikurung dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam ketulan kapsul dan dua paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin gred tinggi seberat 372 gram bernilai RM28,000. Polis turut menemui satu ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 70 gram bernilai RM700," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, dua lelaki warganegara Nigeria berusia 27 dan 28 tahun yang merupakan pelajar sebuah kolej berhampiran itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan percutian secara percuma ke Macau, China.

Katanya, kedua-dua wanita tempatan terbabit yang bertemu dengan lelaki Nigeria berkenaan melalui perkenalan di sebuah kedai makan bersetuju dengan pelawaan itu dan pergi ke pangsapuri suspek sebagai persiapan sebelum berlepas pada 7 Mei lepas.

"Sebaik tiba di pangsapuri berkenaan kedua-dua wanita terbabit dipaksa menelan kapsul berisi dadah untuk diseludup ke China namun kedua-dua mereka enggan melakukannya dan menyebabkan mereka dikurung," katanya.

Nordin berkata polis turut menahan seorang lagi wanita tempatan yang bekerja sebagai pereka grafik dipercayai mempunyai hubungan dengan dua suspek warga Nigeria terbabit di pangsapuri berkenaan pada hari yang sama.

"Kita menahan wanita terbabit yang datang ke pangsapuri itu dan merampas tiket serta jadual penerbangan untuk kedua-dua mangsa ke China bertarikh 7 Mei 2011," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi pengedaran dadah dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

Mengulas lanjut, Nordin meminta semua pihak supaya berhati-hati dan tidak terpedaya sehingga dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa di negara ini yang mempunyai pelbagai helah dan janji manis termasuk menawarkan ganjaran mewah.

"Saya nasihatkan kepada semua terutamanya wanita supaya hati-hati. Seperti kes dua wanita ini mereka baru kenal dengan suspek tidak sampai sebulan dan mudah percaya dengan tawaran yang dibuat, mereka beruntung kerana sempat diselamatkan," katanya.

Dalam kes berasingan, Nordin berkata pada 5 Mei lepas, polis menahan dua beradik warganegara Iran berusia 22 dan 25 tahun yang membawa lapan paket dipercayai dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu ditahan sebaik tiba dari Tehran, Iran, di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik pemeriksaan kita dapati kedua-dua mereka memakai bengkong di dalam pakaian mereka di mana bengkong itu mengandungi ruang khas yang siap dijahit bagi menyembunyikan paket dadah jenis Syabu yang dibawa," katanya.

Nordin berkata suspek berusia 25 tahun itu yang bekerja sebagai jurugambar pernah masuk Malaysia awal tahun ini manakala adiknya yang baru berkahwin pertama kali datang ke negara ini.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, katanya polis juga mengenal pasti sindiket dadah dari Iran itu kini menukar modus operandi mereka dengan memilih LCCT dan lapangan terbang di negeri yang mempunyai penerbangan antarabangsa untuk masuk ke negara ini berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

Monday 9 May 2011

Kristian-Islam: Pastor Pulau Pinang kecam laporan Utusan

Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya laporan Utusan Malaysia kelmarin mendakwa pihaknya berkonspirasi dengan pemimpin DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara dan perdana menteri pula dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang berkata DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah meminta pastor-pastor Kristian untuk berdoa meminta keberkatan Tuhan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian ataupun memiliki pengikut Kristian sebagai perdana menteri.

“Pastor-pastor Kristian dan gereja-gereja sentiasa berdoa untuk kebaikan, keamanan dan kemakmuran, perpaduan dan keharmonian di kalangan semua kaum dan juga kepimpinan yang jujur dan adil,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pastor-pastor Kristian Pulau Pinang dan Ketua Menteri negeri itu.

Justeru, pastor-pastor Kristian dan Gereja berkata mereka tersinggung kerana pembohongan sedemikian disiarkan dalam media massa.

“Kami dengan tegas dan ikhlas menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan dan menyebarkan pembohongan yang bahaya, yang telah mengganggu keharmonian masyarakat, mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu, mereka risau kerana Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan-pembohongan merbahaya, yang menjadikan penganut-penganut Kristian bahan kebencian dan menghasut perasaan membenci terhadap komuniti Kristian yang mungkin membawa kepada kesan-kesan tidak diingini.

Kenyataan itu menambah, Lim akan terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian, biskop dan pastor sebagaimana beliau melakukan dengan pemimpin-pemimpin agama lain selaku kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

MENYUSUL LAGI

Pesanan untuk wanita Melayu sekitar KL

09 May 2011 09:56
Wanita Melayu Mangsa Asid?
by Angelina Sinyang dan Zainal Azhar Mohamed

KUALA LUMPUR: Kegiatan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' kini dikatakan semakin berleluasa berlaku di ibu negara, dipercayai didalangi dua lelaki bermotosikal.

Penjenayah yang sehingga kini belum diberkas dikatakan mencari mangsa terdiri daripada wanita yang kebanyakannya berketurunan Melayu di sekitar Dang Wangi, Sentul dan Brickfields.

Polis bagaimanapun sehingga kini belum mengenal pasti motif perbuatan jenayah suspek berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua suspek, masing-masing bertubuh gempal dan kurus berusia 20 hingga 30 tahun sering menukar jenis motosikal, akan menghampiri mangsa sebelum melemparkan cecair ke arah muka dan tubuh mereka.

Dalam kejadian terbaru semalam, seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia setahun cedera di muka setelah disimbah sejenis cecair di Persiaran Titiwangsa.

Mangsa berusia 30 tahun yang merupakan kakitangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia disimbah asid dalam kejadian pukul 3 petang di hadapan rumah mereka.

Kelmarin, dua wanita berusia lingkungan 20-an yang sedang berjalan kaki di Jalan Pudu Lama turut disimbah sejenis cecair kira-kira pukul 9 malam.

Kira-kira sejam kemudian, seorang wanita turut cedera di muka selepas disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah di tempat letak kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam tempoh dua hari lalu, empat laporan polis diterima membabitkan lima orang mangsa.

Katanya, daripada lima mangsa itu, seorang daripada mereka berketurunan India.

"Kita minta orang ramai, khususnya wanita supaya bertenang dan memberi kerjasama kepada polis untuk mengesan penjenayah itu yang sudah dikenal pasti identiti mereka.

"Polis setakat ini mengesan dua suspek berketurunan India ini menaiki motosikal atau menunggu mangsa di laluan yang sunyi sebelum menyimbah mereka menggunakan botol plastik yang sudah dipotong berisi cecair itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khairi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta mengenali wajah suspek, kenderaan dan nombor pendaftaran mereka serta pakaian dan memaklumkan segera kepada Rakan Cop atau Bilik Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, sebanyak 10 kes simbah cecair dipercayai asid dilaporkan berlaku di daerah ini sehingga Mac lalu.

"Dalam kejadian terakhir pada Mac lalu, tiga wanita iaitu seorang guru dan dua orang awam dilaporkan telah disimbah cecair itu di pekan Brickfields.

"Setakat ini, tiada mangsa dapat mengecam suspek yang menaiki sebuah motosikal kerana kejadian berlaku begitu pantas," jelasnya.

Bagaimanapun menurutnya, usaha untuk mengesan suspek yang terlibat masih diteruskan kerana bimbang suspek kembali melakukan jenayah sama selepas ini. - UM

Jakim tarik balik sijil halal

Oleh Hayati Ibrahim

PUTRAJAYA: Sijil pengesahan halal sebuah syarikat pengeluar daging dan produk nilai tambah berasaskan ayam seperti sosej dan bebola daging yang beribu pejabat di Pulau Pinang ditarik balik serta-merta berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam produk keluaran syarikat terbabit.

Menurut laman web Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), keputusan itu dibuat pada mesyuarat Panel Pengesahan Halal yang diadakan pada 22 April lalu.

“Kajian terhadap produk keluaran syarikat berkenaan mendapati terdapat DNA babi, menyebabkan sijil halal syarikat itu ditarik balik serta-merta.

“Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru sijil halal yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit perlu menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal diiktiraf,” kata kenyataan dalam laman web itu.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan resit pembelian produk baru, melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Tindakan itu diambil selepas mendapati syarikat itu melakukan kesalahan serius dalam Pensijilan Halal Malaysia (PHM) kerana membabitkan hukum syarak dan aspek teknikal.

Antara kesalahan membabitkan hukum syarak termasuk pengesahan status tidak halal terhadap produk, bahan ramuan dan peralatan oleh pihak berkuasa agama yang diiktiraf selepas dipersetujui Panel Pengesahan Halal, menggunakan ramuan tidak halal selepas memiliki sijil halal dan menyimpan bahan ramuan atau produk halal dengan tidak halal di tempat sama.

Kesalahan lain termasuk menggunakan peralatan dan perkakasan yang bercampur antara halal dengan tidak halal, memproses kenderaan yang tidak sempurna sembelihannya dan membawa masuk bahan tidak halal ke premis atau syarikat yang mendapat PHM serta menggunakan ‘stunning’ menyebabkan haiwan mati.

Saturday 7 May 2011

Apabila Sam (D’lloyd) Ajak Raja Perlis Nyanyi…

 
Konsert D'lloyd 'Semalam Di Malaysia' sedang berlangsung di Istana Budaya sehingga 8 Mei ini. - Foto RICKY LAI
 
KUALA LUMPUR: Konsert D’lloyd ‘Semalam di Malaysia’ menjadi gamat apabila vokalis Syamsuar Hashim (Sam) mengajak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk sama-sama menyanyikan sedikit lagu Cinta Hampa di Istana Budaya, Jumaat.

Bagaimanapun, Tuanku Syed Sirajuddin menolak pelawaan tersebut dengan cara yang baik.

Biarpun begitu, penyanyi berasal dari Indonesia itu meneruskan persembahannya dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka termasuklah Rintihan Hidup, Sepanjang Lorong Yang Gelap, Keluhan dan Rintihan, Rambutmu Rambutku, Pandang Pandangan, Semalam Di Malaysia, Khayal dan Penyair, Titik Noda dan Nasib.

Kebanyakan penonton yang hadir menonton persembahan itu berusia 40 tahun ke atas. Walaupun penulis kurang mendengar lagu-lagu kumpulan yang popular sejak tahun 60-an itu, namun setiap lagu yang didendangkan mampu memikat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Vokal Sam masih bertenaga dan menghiburkan.
Ada juga peminat tegar kumpulan muzik legenda dari Indonesia itu sanggup datang dari Sarawak semata-mata untuk menonton persembahan kumpulan yang kali terakhir muncul di negara ini pada 1978.
Begitulah aura dan penangan D’lloyd yang masih malar hijau serta diminati sehingga sekarang tidak kira peringkat usia.

Abang Sam meninggal dunia
Walaupun Sam menerima berita sedih tentang abangnya, Norman Hussein yang meninggal dunia pada pukul 5.40 petang, Jumaat, dia tetap meneruskan persembahannya.

Kata Sam, setiap urusan dunia perlu diteruskan dan dia redha dengan pemergian arwah abangnya itu.
Yuyun menunjukkan kehebatannya bermain flute.
Selain vokal Sam yang sedap didengar, kehebatan Yuhanny Fatmarida Susilo (Yuyun) bermain flute cukup mempesonakan. Malah, Yuyun juga mempunyai vokal yang merdu apabila menyanyikan beberapa buah lagu seperti Engkau Laksana Bulan nyanyian P.Ramlee dan Fatwa Pujangga.

Konsert yang turut menampilkan penyanyi tempatan, Datuk Ahmad Jais itu dipentaskan sehingga 8 Mei ini.
Kumpulan D’lloyd turut dianggotai oleh , Bartje Van Houten (gitar), Chairul Daud (Khairul/dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Uce F Tekol (Tooto/bass). Sementara persembahan mereka diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan komposer terkenal S. Atan.

Untuk pembelian tiket atau maklumat lanjut, sila layari laman web www.ticket2u.com atau hubungi talian 03-41478600, 019-3391445 dan 019-2757192.

Sunday 1 May 2011

7 NGO buat laporan polis

2011/05/01
KUALA TERENGGANU: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Tujuh NGO itu ialah Kelab Belia Generasi Prihatin, Sahabat Laut Malaysia (Selam), Gerakan Belia 4B Terengganu, Kelab Permotoran Parlimen Kuala Terengganu, Persatuan Pendekar Marang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Alumni 4B Terengganu. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Selam, Ismail Awang yang mewakili kesemua NGO di ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 2 petang tadi. Ketika ditemui pemberita, Ismail berkata, dalam laporan itu, semua NGO berkenaan menentang sekeras-kerasnya tindakan biadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta PAS yang didakwa membawa masuk orang bukan Islam dan mencemarkan kesucian masjid.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah terdesak pihak tidak bertanggungjawab dengan menjadikan masjid sebagai tempat baru berdemontrasi selain menunjukkan sikap tidak profesional kerana menggunakan rumah Allah untuk berpolitik.

"Tujuan kami membuat laporan ini bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi bertindak demi menjaga kesucian agama Islam serta maruah umat Islam yang telah diaibkan dengan kejadian itu," katanya.

Ismail berkata, polis diminta menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang terlibat demi menjaga kehormatan Islam sebagai agama rasmi negara.
Jumaat lalu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As bagi membuktikan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam rakaman video seks membabitkan seorang pelacur dipercayai dari China.

Sambil memegang kitab suci al-Quran, Shazryl Eskay menyempurnakan lafaz laknat kira-kira jam 4.25 petang walaupun sebelum itu ada usaha menghalang acara itu diadakan.

Turut sama dua lagi trio Datuk T, iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim. - BERNAMA