Friday 9 May 2014

Wali Band, satu titik hitam dalam warna putih


DARI kiri: Tomi, Faank, Apoy dan Ovie menerima plag pelancaran album Doain Ya Penonton daripada wakil pengedar Malaysia, Tropic Jaya Entertainment.


SEJAK menempa nama di Malaysia pada tahun 2009, Wali Band pernah mencuri perhatian penggemar muzik di negara ini menerusi beberapa buah lagu yang berunsur komedi.
Lagu-lagu yang bertemakan kehidupan harian itu juga turut diselitkan dengan irama dangdut bagi memberikan kelainan terhadap kumpulan yang berasal dari Ciputat, Indonesia itu.
Walaupun terkenal dengan lagu-lagu yang disuntik dengan irama tersebut, namun kumpulan yang terdiri daripada Faank, Apoy, Ovie dan Tomi itu tidak pernah berasa sebal hati jika mereka dilabelkan sebagai band kampung.
Menurut vokalisnya, Farhan Zainal Muttaqin atau Faank, walaupun dilabel sebagai kampungan, mereka tetap memperjuangkan seni muzik sama seperti kumpulan-kumpulan yang lain.
“Kami tidak kisah jika digelarkan sebagai pemuzik kampung. Pada pendapat kami, walaupun kampung, seni yang terhasil itu masih mampu dinikmati oleh banyak pihak,” ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung sempena majlis pelancaran album terbaharu mereka, Doain Ya Penonton di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru ini.
Menurut Faank, irama tersebut juga dipilih kerana mereka enggan kedengaran serupa dengan puluhan band yang ada di Indonesia.
Pilih Malaysia
“Sejujurnya, persaingan antara band-band di tanah kelahiran kami begitu sengit. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk muncul dengan genre seperti ini.
“Biarlah kami menjadi satu titik hitam dalam warna putih. Kelainan itu juga mampu dinikmati oleh ramai orang, terutamanya peminat-peminat kami di Malaysia,” ujarnya lagi.
Justeru itu, tidak hairanlah jika mereka mengambil keputusan untuk melancarkan album keenam mereka di sini terlebih dahulu sebelum di negara sendiri.
WALI BAND tidak kisah apabila ada segelintir pihak yang melabelkan mereka sebagai pemuzik kampung.


“Disebabkan sambutan yang menggalakkan oleh peminat di sini, kami mengambil keputusan untuk melancarkan album keenam kami di Malaysia terlebih dahulu.
“Tambahan pula, bahasa yang digunakan oleh kami boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia,” ujarnya lagi.
Konsep serupa
Masih memilih konsep yang serupa untuk album terbaharu mereka, Faank memberitahu, keadaan dunia yang agak tegang pada waktu ini membuatkan mereka gembira untuk menghiburkan peminat-peminat dengan lagu yang berentak santai.
“Masyarakat dunia sudah cukup tertekan dengan masalah yang dihadapi oleh mereka seharian. Jadi, mengapa perlu kita menambah beban mereka dengan lagu-lagu yang berat?
“Kami percaya, dengan muzik yang berentak sederhana yang ditampilkan dalam setiap album kami, mereka mampu berhibur dan menikmati karya-karya Wali tanpa melibatkan sebarang gangguan emosi,” tutur Faank.
Dalam pada itu, ketika disoal mengenai lagu yang dapat menyaingi lagu Cari Jodoh, Faank memberitahu, justifikasi itu perlu diletakkan sendiri oleh para peminat mereka.
“Album ini dihasilkan khas untuk peminat kami yang begitu setia dalam mengikuti perkembangan Wali sejak dahulu lagi.
“Jadi, kami tidak boleh meletakkan sebarang kategori terhadap lagu-lagu yang telah kami hasilkan. Semuanya terletak pada pendapat pendengar sendiri,” jelasnya lagi.
Mengagumi bakat yang ada pada penyanyi Amy Search, Faank berkata, mereka begitu teringin untuk berkolaborasi bersama legenda rock itu jika diberi peluang pada masa akan datang.
“Kami membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan Search. Kami berharap dapat bekerjasama dan berduet dengan Amy suatu hari nanti,” katanya

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz31EZ5gDQD