Najwa Latif
Najwa Latif
Bakat Najwa Latif sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak awal kemunculannya dalam Youtube, Najwa berjaya menarik perhatian dengan kemerduan suaranya.

Namun, dalam meniti perjalanan sebagai anak seni, Najwa tidak terlepas dari pandangan pengkritik yang gemar mencari kesalahannya, terutamanya dalam berfesyen.

Pernah dikatakan gaya lebih tua dari usia, gaya seperti 'mak nenek' dan pelbagai lagi kata negatif, Najwa tidak sedikit pun berkecil hati sebaliknya berusaha untuk mengubah penampilannya.

"Saya akui tidak pandai berfesyen dan saya masih lagi belajar mengenai fesyen serta gaya yang sesuai dengan umur saya.

"Saya hargai segala kritikan yang diberikan peminat dan pihak tertentu kepada saya dan saya akan cuba ubah gaya pemakaian saya selepas ini," katanya kepada Zass.

Najwa berkata, buat masa ini, dia tidak merancang untuk mendapatkan khidmat nasihat atau mengupah pakar perunding imej kerana merasakan perkara itu tidak terlalu serius.

"Biasalah saya budak baru belajar dan saya akan cuba ubah sikit-sikit. Tapi sampai nak mengupah pakar, saya rasa tidak perlu. Tapi saya sentiasa merujuk pada majalah dan internet untuk mendapatkan imej lebih sesuai," ujarnya.

Enggan besar isu keluarga

Tidak sekadar dikritik kerana fesyennya, nama Najwa turut terpalit dengan kisah permasalahan keluarganya, sehinggakan ayahnya pernah mendakwa, Najwa seorang anak derhaka.

Meminta agar isu keluarganya tidak diperbesar-besarkan lagi, Najwa berkata, dia sebolehnya tidak mahu mengungkit atau membuka cerita mengenai keluarganya yang berlaku pada tahun lalu.

"Cerita mengenai ayah saya ini berlaku pada tahun lalu. Sempena tahun baru ini, saya mahu buka buku baru. Segala yang berlaku tahun lalu saya anggap dugaan ALLAH SWT pada saya.

"Saya percaya setiap nikmat yang ALLAH SWT berikan, Dia akan duga umat-Nya dan semua itu menjadikan saya lebih kuat," jelasnya.

Rancang terbit album kedua

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Najwa yang sebelum ini berehat panjang kerana mahu memberi tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun lalu mengakui akan membuat comeback secara perlahan-lahan.
Jelasnya, dia yang baru sahaja mengadakan showcase di Singapura baru-baru ini, sedang dalam rangka perancangan untuk menerbitkan album keduanya.

"Segalanya masih terlalu awal untuk diceritakan. Apa yang saya boleh katakan, muzik saya kali ini lebih matang berbanding single saya sebelum ini," katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya dalam bidang seni, Najwa berkata, selepas mendapat keputusan SPM kelak, dia merancang untuk mengambil jurusan Pengajaran dalam Bahasa Inggeris (TESL).

"Saya mahu terus aktif dalam bidang seni selepas ini dan merancang mengambil kursus TESL. Namun belum buat keputusan lagi untuk belajar di mana," akhirinya.