Monday 9 May 2011

Kristian-Islam: Pastor Pulau Pinang kecam laporan Utusan

Oleh G Manimaran
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya laporan Utusan Malaysia kelmarin mendakwa pihaknya berkonspirasi dengan pemimpin DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara dan perdana menteri pula dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang berkata DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah meminta pastor-pastor Kristian untuk berdoa meminta keberkatan Tuhan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian ataupun memiliki pengikut Kristian sebagai perdana menteri.

“Pastor-pastor Kristian dan gereja-gereja sentiasa berdoa untuk kebaikan, keamanan dan kemakmuran, perpaduan dan keharmonian di kalangan semua kaum dan juga kepimpinan yang jujur dan adil,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pastor-pastor Kristian Pulau Pinang dan Ketua Menteri negeri itu.

Justeru, pastor-pastor Kristian dan Gereja berkata mereka tersinggung kerana pembohongan sedemikian disiarkan dalam media massa.

“Kami dengan tegas dan ikhlas menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan dan menyebarkan pembohongan yang bahaya, yang telah mengganggu keharmonian masyarakat, mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu, mereka risau kerana Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan-pembohongan merbahaya, yang menjadikan penganut-penganut Kristian bahan kebencian dan menghasut perasaan membenci terhadap komuniti Kristian yang mungkin membawa kepada kesan-kesan tidak diingini.

Kenyataan itu menambah, Lim akan terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian, biskop dan pastor sebagaimana beliau melakukan dengan pemimpin-pemimpin agama lain selaku kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

MENYUSUL LAGI

No comments:

Post a Comment