Wednesday 23 January 2013

5 Lagenda Rock Gegarkan Istana Budaya



addthis kongsi icon
5 Lagenda Rock Gegarkan Istana Budaya
Teks oleh Syafiqah Jalal

KUALA LUMPUR, 22 JAN 2013:
 Julung kalinya 5 lagenda rock negara iaitu Saleem, Aris Ariwatan, Rahmat Mega, Zamani Slam dan Ali Terra Rossa bakal beraksi di pentas Panggung Sari Istana Budaya dalam konsert berjudul Konsert Gegar 5 Lagenda bermula 22 hingga 24 Februari ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata walaupun keputusan untuk mengadakan konsert itu baru sahaja dipersetujui semua, namun perancangannya telah dibuat sejak tahun 2011 lagi.
Malah, penangguhan teater Ombak Rindu yang sepatutnya berlangsung pada tarikh tersebut, telah membolehkannya memberi peluang kepada 5 penyanyi rock yang popular tahun 80-an itu untuk diberi penghargaan beraksi di pentas Istana Budaya.
"Sebenarnya sudah lama saya berniat hendak mengangkat 5 penyanyi rock ini untuk dibawa beraksi ke dalam pentas Istana Budaya. Malah kami sudah beberapa kali berbincang sejak tahun 2011 lagi.
"Ini kerana sebelum ini saya tertarik apabila melihat mereka beraksi di Laman Santai di luar Istana Budaya sehingga akhir tahun lalu. Konsert mereka memang tiada dalam jadual program kami, tetapi inilah plan B kami, jika sesebuah pementasan itu terpaksa ditunda atau dibatalkan.
"Jadi apabila kami mendapat tahu teater Ombak Rindu terpaksa ditangguhkan kami pun menggantikan konsert ini untuk mengisi jadual atau program di Istana Budaya," katanya dalam sidang media Konsert Gegar 5 Lagenda Rock di Istana Budaya, petang semalam.
Konsert Gegar 5 Lagenda ini bakal diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Namun begitu, pengarah persembahan konsert tersebut iaitu Lokman Ghani memberitahu akan ada 1 segmen dimana mereka akan menyanyi bersama pemuzik band.
"Ia akan terbahagi kepada dua segmen di mana setiap artis akan menyanyi bersama band serta orchestra. Malah kami dalam perancangan untuk menggabungkan mereka atas 1 pentas untuk nyanyian medley.
"Apa yang pasti hanya seleksi lagu terbaik akan dipilih untuk dipersembahkan kepada penonton dan pada masa ini kami masih lagi memilih lagu apakah yang akan dibawa mereka pada malam itu nanti.
"Susunan muzik juga akan diubah bagi disesuaikan dengan orkestra yang akan mengiringi mereka pada malam itu nanti," jelasnya.
Tiket-tiket konsert akan dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.
Tempahan tiket sudah boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment