Thursday, 25 October 2012

Ameng Habiskan Masa Cipta Lagu Dalam Penjara



Ameng (Spring) - Gambar fail.
PETALING JAYA: Tempoh penahanan yang agak lama sejak dihukum penjara atas kesalahan dadah pada April tahun lalu di Penjara Kluang, Johor memberi ilham kepada penyanyi Ameng (Spring) untuk menghabiskan masanya dengan mencipta lagu.
Isterinya, Sabariah Zakiah, 42, berkata, Ameng berhasrat untuk kembali menyanyi selepas tamat tempoh hukuman yang dijangka pada tahun 2016 dan tidak malu berdepan dengan orang ramai walaupun statusnya sebagai seorang banduan.
"Dia pernah meluahkan hasratnya untuk kembali aktif menyanyi dan telah menghasilkan banyak lagu sepanjang berada di penjara.
"Saya pula memintanya untuk berehat sekejap sebelum muncul di khalayak, maklumlah, risau pula dengan penerimaan orang.
"Bagaimanapun saya tetap menyokong setiap perkara yang ingin dilakukannya, malah setiap kali melawatnya, saya akan beri dia buku dan beberapa batang pen untuknya menulis," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Sabariah bersama anaknya, Ahmad.
Tambah Sabariah, walaupun sebak melihat keadaan suaminya yang terpaksa menjalani hukuman yang ditetapkan, tetapi dia bersyukur apabila Ameng diberi peluang untuk keluar ke beberapa penjara lain bagi mengadakan persembahan untuk majlis-majlis tertentu.
Sementara itu, Sabariah turut bersyukur kerana dapat melepaskan rindu kepada suaminya dengan membuat lawatan setiap bulan walaupun masa yang diperuntukkan hanya 20 hingga 45 minit untuk setiap kali lawatan.
"Alhamdulillah, saya akan mencari masa untuk melawat Ameng walaupun sekejap. Malah saya lebih selesa melawatnya pada hari bekerja kerana tidak ramai orang.
"Cuma saya tidak dapat melawatnya pada bulan depan kerana dia akan ke Penjara Pangkalan Chepa di Kelantan lebih kurang sebulan untuk menjalani program yang telah dirancang," ujarnya.
Dalam pada itu, sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada Jumaat, Sabariah berkata dia tidak dapat melawat Ameng kerana hanya 15 banduan terpilih sahaja yang dibenarkan beraya bersama keluarga.
"Ameng menghubungi saya dan memberitahu saya tidak boleh melawatnya pada kerana dia sudah pun diberi peluang untuk bertemu keluarga pada sambutan Aidilfitri lalu," tuturnya.
Pada 12 April lalu Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana kesalahan berkaitan dadah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment