Sunday 14 October 2012

Jamal, Ahmad Nawab & Khadijah Ibrahim Hidupkan Konsert Gemilang



KUALA LUMPUR: Celoteh tiga seniman hebat Datuk Ahmad Nawab, Datuk Khadijah Ibrahim dan Jamal Abdillah pada Konsert Gemilang berjaya menghiburkan kira-kira 800 penonton di dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dekat sini, malam Sabtu.
Perkongsian rahsia dan perjalanan tiga seniman itu sebagai seorang anak seni juga membuatkan penonton bukan sekadar terhibur dengan persembahan mereka tetapi juga dapat mengetahui kisah-kisah hidup yang dikongsikan.
Malah Jamal secara berseloroh turut mendedahkan perihal Ahmad Nawab yang merupakan seorang yang sangat romantik.
"Saya nak buka tembelang Abang Ahmad yang sebenarnya seorang yang sangat romantik. Kalau dekat studio, ada sahaja wanita di situ," seloroh Jamal.
Pemuzik popular itu pula menepis gurauan Jamal bahawa wanita yang berada di studio merupakan penyanyi latar yang mahu merakam suara mereka.
"Mana ada, mereka adalah penyanyi latar saya.
"Bagaimanapun hadirin sekalian, sehingga ke hari ini, Jamal merupakan satu-satunya memiliki suara bernada tinggi yang sangat sedap," puji Ahmad Nawab mengenai keistimewaan Jamal .
Persembahan yang bermula pukul 9 malam itu berlangsung selama hampir tiga jam dimulakan dengan alunan muzik instrumental lagu Hari Ini Tak Seindah Ahmad Nawab yang memainkan alat muzik saksafon.
Nyanyian Khadijah berjudul Potret Kasih pula dipersembahkan dan diikuti dengan dua lagu popularnya iaitu Tangisan Hati Yang Derita dan Ku Gembira Di Sampingmu.
Pada konsert itu, Khadijah turut membawakan lagu abangnya, arwah Latiff Ibrahim iaituPilihlah Aku bersama anak saudaranya, Firdaus.
"Tahun ini, saya kehilangan abang yang sangat disayangi iaitu arwah Latiff Ibrahim.
"Dia pernah memberitahu kepada Ahmad Nawab bahawa ingin menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu artis-artis tempatan. InsyaAllah, hasratnya akan ditunaikan," tutur Khadijah mengenang memori bersama Latiff.
Persembahan bergilir-gilir itu turut membuaikan penonton dengan persembahan Jamal yang membawakan lagu Di Mana Bayanganmu, Sepi Seorang Perindu, Hilanglah Rinduku, Keluhan Perantau dan Antara Yakin Dengan Curiga.
Persembahan bertenaga tiga bintang ini yang menampilkan sebanyak 24 buah lagu secara keseluruhan itu ternyata memberikan kepuasan yang maksima kepada penonton.
Sukar untuk membandingkan kehebatan mereka yang nyata mempunyai kelebihan masing-masing.
Antara lagu lain yang dipersembahan oleh Khadijah ialah Mengapa Aku Disalahkan, Janjimu, Peristiwa Di Bulan November dan Mengenang Dikau Kembali.
Jamal turut menyampaikan lagu-lagu popularnya Aku Penghibur, Perjalananku, Berdendang Dalam Tangisan, Kau Lupa Janji, Terharu dan Gadis Melayu.
Sementara Ahmad Nawab pula memainkan muzik lagu-lagu seperti Rindumu Rinduku, Nawab Samba, Antara Aku Dan Dia, Bintang Malam, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Bila Rindu Ku Sebut Namamu,Antara Matamu Dan Mataku, Nadi Cinta, Bossanova dan Kasih.
Persembahan ini turut disaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri turut Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - mStar

No comments:

Post a Comment